NIKMATNYA BULAN RAMADHAN

 

Assalamu’alaikum Wr.Wb

Hadirin yang dirahmati Allah

Bapak-Bapak, Ibu-Ibu, kita menikmati puasa sepertimana kita menikmati ibadah-ibadah yang lainnya. Puasa merupakan amalan yang penuh kenikmatan. Hanya orang yang merasakannya yang mengetahui kenikmatannya. Puasa merupakan salah satu daripada lima rukun Islam disamping dua kalimah syahadah, sholat, zakat, dan haji. Kesemua rukun Islam tersebut adalah amalan-amalan yang penuh dengan kenikmatan, kerana sesungguhnya Islam itu secara keseluruhannya adalah nikmat daripada Allah. Tidak diragukan lagi bahawa Rukun  Islam adalah nikmat-nikmat besar bagi umat  Islam. Memang semua ibadah memberikan kenikmatan, namun puasa memberikan kenikmatan tersendiri dibanding dengan ibadah-ibadah yang lainnya. Sesungguhnya setiap ibadah itu memiliki keistimewaan dalam memberikan  kenikmatan. Berikut ini beberapa kenikmatan yang kita kecapi daripada puasa-puasa yang kita lakukan, khasnya puasa yang dilakukan di sepanjang bulan suci Ramadhan :

  1. Puasa Membuat Diri Kita Terpelihara

Tidak ada perkara yang lebih kita sukai daripada perkara yang boleh membawa kepada pemeliharaan diri. Puasa adalah di antara amalan yang boleh membawa kepada terpeliharanya diri. Kita telah mengamalkannya dan mendapatkan buktinya. Sebenarnya bukti puasa sebagai pemelihara diri boleh kita dapatkan lebih awal melalui keyakinan kita kepada firman Allah:

Artinya :” Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Q.S Al-Baqarah : 183)

Ayat ini menerangkan bahawa orang yang berpuasa akan menjadi orang yang bertaqwa. Orang yang bertaqwa adalah orang yang terpelihara dirinya daripada kesusahan, kesengsaraan dan malapetaka. Bahkan akan mendapatkan banyak kebaikan (keberkatan) daripada langit dan bumi. Allah berfirman :

Artinya :” Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah daripada langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya”. (Q.S Al-A’raf : 96)

Inilah yang membuat kita menikmati puasa yang dilakukan. Rasanya tidak ada manusia  yang tidak suka dirinya terpelihara daripada kesusahan, kesengsaraan dan malapetaka. Maka kita tidak merasa berat apalagi terbeban hanya kerana tidak makan dan tidak minum selama berpuasa, sebab semua itu untuk mencapai tujuan yang sangat berharga di dalam hidup ; iaitu terpeliharanya diri di dunia dan di akhirat.

  1. Puasa Menjadikan Kita orang-orang yang sabar

Kenikmatan lain daripada puasa yang kita lakukan adalah kerana puasa itu boleh menjadikan kita orang-orang  penyabar. Sesungguhnya kita akan menikmati perkara-perkara yang akan membawa diri kita kepada kejayaan. Sesungguhnya dapat menjadi seorang yang penyabar adalah suatu kejayaan. Sebab banyak sekali pekerjaan yang memerlukan kesabaran ; sebagai suami ataupun sebagai isteri, sebagai orang tua, sebagai anak, sebagai pemimpin, sebagai rakyat, sebagai guru, sebagai murid, sebagai pendakwah, sebagai apa pun  kita, kesabaran  adalah yang mutlak diperlukan. Tanpa kesabaran tidak akan berhasil pekerjaan yang kita lakukan. Sesungguhnya kejayaan kita hari ini adalah disebabkan kerana kesabaran yang kita miliki. Maka saya menikmati puasa kerana ia boleh menjadikan saya sebagai seorang yang penyabar.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الصِّيَامُ نِصْفُ الصَّبْرِ ) ابن ماجه)

Artinya : Diriwayatkan daripada Abu Hurairoh R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: :”Puasa itu sebahagian daripada kesabaran”. (H.R. Ibnu Majah)

Dalam hadis yang lain Rasulullah menyebutkan pula bahawa bulan puasa adalah bulan sabar :

أَبُو ذَرٍّ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ صَوْمُ شَهْرِ الصَّبْرِ وَثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ صَوْمُ الدَّهْرِ )  أحمد )

Mafhumnya : Abu Zar R.A. mendengar Rasulullah SAW bersabda : ”Puasa pada bulan sabar (bulan Ramadhan) dan tiga hari tiap-tiap bulan bagaikan berpuasa sepanjang tahun”. (H.R. Ahmad)

Memanglah, hanya orang yang tidak mengerti sahaja yang tidak menikmati puasa. Mungkin ia hanya melihat daripada sisi tidak makan dan tidak minum sahaja, terlupa buahnya yang manis, lazat dan berharga ; iaitu yang akan menjadikannya sebagai seorang yang penyabar.

  1. Puasa Membuat Diri Kita Gembira.

Satu lagi kenikmatan yang kita rasakan daripada berpuasa, iaitu mendapatkan kegembiraan di hati. Kita akan gembira apabila apa yang kita kehendaki tercapai. Umpamanya, kita ingin membangun sebuah rumah yang besar dan selesa. Kita mula membangun rumah semenjak usia muda. Tidak berapa lama kemudian rumah yang kita ingini itu pun siap terbina. Alangkah gembiranya rasa di hati. Bertambah kegembiraan apabila yang kita kehendaki itu adalah juga yang dikehendaki oleh semua ahli keluarga. Begitu pula dengan puasa yang kita lakukan. Kita ingin puasa itu sebagai ibadah yang dipersembahkan kepada Allah. Kita mulakan dengan menahan (imsak) semenjak fajar belum terbit sehinggalah matahari terbenam. Alangkah gembiranya rasa di hati apabila masa berbuka (ifthar) telah tiba, kerana menunjukkan puasa itu berjaya disempurnakan. Dan kegembiraan itu akan berulang dan bertambah lagi apabila dapat menikmati manfaat puasa tersebut di akhirat kelak. Hal ini sesuai dengan sabda Rasulullah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ فِي الدُّنْيَا عِنْدَ إِفْطَارِهِ وَفَرْحَةٌ فِي الآخِرَةِ  ( أحمد )

Mafhumnya : Diriwayatkan daripada Abu Hurairoh R.A bahawa Rasulullah bersabda :”Bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan ; kegembiraan di dunia ketika berpuasa dan kegembiraan di akhirat”. (H.R Ahmad)

Dan apabila dilihat daripada manfaat puasa pula maka manfaatnya sungguh besar sekali, seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ رَبَّكُمْ يَقُولُ كُلُّ حَسَنَةٍ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ وَالصَّوْمُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ ( الترمذي )

Mafhumnya : Diriwayatkan daripada Abu Hurairoh R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:”Sesungguhnya Tuhanmu berfirman :”Setiap perbuatan baik balasannya 10 perbuatan baik yang seumpama dengannya, sehingga 700 kali ganda. Puasa itu bagi-Ku dan Aku yang akan membalasnya “. (H.R At-Tirmizy)

Maka, hati siapa yang tidak gembira dengan berpuasa. Itulah mengapa kita menikmati puasa, sebab ia boleh membuat diri kita gembira ; gembira ketika berbuka di dunia dan gembira ketika bertemu Allah di akhirat, dan juga gembira kerana manfaatnya sangat besar sekali.

  1. Puasa Menghapuskan Dosa Kita.

Kenikmatan lain yang kita rasakan daripada berpuasa adalah kemudahan dalam menjalani hidup. Hidup yang dijalani terasa ringan. Orang melihat pekerjaan yang kita lakukan terlalu berat, tetapi kita merasakan sebaliknya, ringan dan mudah. Mungkin hal itu ada kena-mengena dengan dosa yang diampuni (dihapuskan), kerana dosa merupakan salah satu perkara yang memberatkan kehidupan, Allah berfirman tentang Rasulullah yang telah diampuni sekalian dosa sehingga beban tidak terasa lagi, meskipun pekerjaan yang dilakukan oleh Rasulullah nampak berat bagi orang lain :
Artinya :” Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu? (91) Dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu(2) yang memberatkan belakangmu?”. (Q.S. Asy-Syarhu : 1-3)

Ayat ini menerangkan bahawa Allah telah menghapuskan dosa-dosa Rasulullah yang merupakan beban yang memberatkan belakang baginda. Dengan itu maka ringanlah kewajiban dijalankan, mudahlah pekerjaan dilaksanakan. Dan sebagaimana yang telah diketahui bahawa puasa adalah di antara ibadah yang boleh menghapuskan dosa, Rasulullah bersabda :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ( البخاري )

Mafhumnya : Diriwayatkan daripada Abu Hurairoh R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:”Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan pengharapan maka akan diampuni dosanya yang telah lalu”. (H.R. Al-Bukhary)

Ini pulalah yang membuat kita tidak merasa berat untuk berpuasa, bahkan merasa suka-cita, apalagi apabila Ramadhan  tiba, sebab mendapat kesempatan untuk menghapuskan dosa yang akan membebankan badan, fikiran dan jiwa kita.

  1. Puasa Menjauhkan Diri Kita Daripada Api Neraka.

Kita menikmati puasa kerana ia boleh menjauhkan kita daripada api neraka. Lapar dan dahaga tidak mampu menghambarkan kenikmatan kita terhadap puasa, kerana keselamatan diri daripada api neraka adalah tumpuan utama di dalam hidup kita. Pastinya kita tidak akan merasa hambar dengan pagar besi besar yang ditegakkan di sepanjang jalan, kerana kita tahu bahawa pagar tersebut adalah yang menyelamatkan jiwa kita daripada tercampak dan terjunam ke dalam lembah yang dalam. Yang menjadi tumpuan kita adalah keselamatan, bukan pagar yang menghalang pandangan. Demikian pulalah dengan puasa yang dilakukan. Rasulullah bersabda :

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِي الله عَنْهم قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَاعَدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا ( مسلم )

Artinya : Diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudry RA. bahawa ia mendengar Rasulullah bersabda : “ Sesiapa yang berpuasa di jalan Allah maka Alah akan menjauhkannya daripada api neraka sejauh perjalanan 70 musim”. (H.R. Muslim).

  1. Puasa Memasukkan Kita Kedalam Syurga.

Selanjutnya di antara kenikmatan puasa yang kita rasakan adalah manfaatnya yang besar kelak, iaitu memasukkan kita ke dalam syurga. Kita akan dipersilakan untuk masuk ke dalam  syurga melalui salah satu pintunya yang istimewa, iaitu yang bernama Ar-Rayyan. Ar-Rayyan adalah pintu syurga sebagai tempat masuk orang-orang yang berpuasa. Sesiapa yang memasuki syurga melalui pintu tersebut tidak akan pernah merasa dahaga selama-lamanya, Rasulullah bersabda :

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ فِي الْجَنَّةِ لَبَابًا يُدْعَى الرَّيَّانَ يُدْعَى لَهُ الصَّائِمُونَ فَمَنْ كَانَ مِنَ الصَّائِمِينَ دَخَلَهُ وَمَنْ دَخَلَهُ لَمْ يَظْمَأْ أَبَدًا ( الترميذي )

Artinya : Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad R.A. daripada Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda :”Sesungguhnya di syurga itu ada sebuah pintu yang dipanggil Ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan dipanggil untuk masuk melalui pintu tersebut. Maka sesiapa daripada golongan orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut, dan sesiapa yang melaluinya maka tidak akan merasa dahaga selama-lamanya”. (H.R. At-Tirmizy)

Untuk dapat memasuki syurga melalui pintu Ar-Rayyan adalah di antara pendorong yang membuat kita menikmati puasa, bukan menikmatinya daripada sisi hawa nafsu, tetapi daripada sisi keimanan dan keyakinan yang akan kita dapatkan.

  1. Puasa Merupakan Persembahan Kita Kepada Zat Yang Sangat Kita Cintai.

Satu lagi perkara mengapa kita menikmati puasa, iaitu puasa yang kita lakukan adalah persembahan kita kepada Zat Yang Sangat Kita Cintai, iaitu Allah Subhanahu wata’ala. Apabila seseorang bekerja sebagai persembahan untuk kekasih yang sangat ia cintai maka sudah pasti ia akan suka melakukannya, kerana orang yang mencintai dengan ikhlas akan berkorban apa sahaja tanpa sedikit pun merasa berat di hati. Pengorbanan itu adalah sebagai  bukti cinta yang sejati. Begitu pulalah ketika kita berpuasa. Kita ingin menjadikannya sebagai bukti cinta kepada Allah Subhanahu wata’ala. Sesungguhnya Allah adalah yang paling kita cintai daripada segalanya, lebih daripada ayah dan ibu kita sendiri bahkan lebih daripada diri kita sendiri. Inilah yang membuat kita menikmati puasa. Tambah lagi firman Allah dalam sebuah hadis membuat diri kita menjadi suka dan cinta :

قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : قَالَ اللهُ : كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلاَّ الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ

( البخاري )

Mafhumnya : Rasulullah SAW bersabda :”Allah berfirman :” Setiap amalan anak Adam itu bagi dirinya sendiri kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu bagi-Ku dan Aku yang akan membalas kebaikannya”. (H.R. Al-Bukhary)

Bermakna :”Puasa merupakan persembahan kita kepada Allah Yang Sangat Kita Cintai”. Dan hadis yang lain Allah memuji persembahan kita ini dengan berfirman :

عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : قَالَ رَبُّكُمْ عَزَّ وَجَلَّ : عَبْدِي تَرَكَ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ وَشَرَابَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي وَالصَّوْمُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ ( أحمد )

Artinya : Rasulullah bersabda :” Tuhan-mu Azza Wa Jalla berfirman : ”Hamba-Ku telah meninggalkan syahwatnya, makanannya, minumannya untuk mendapatkan keredhoan-Ku. Puasa itu bagi-Ku dan Aku yang akan membalas kebaikannya”. (H.R Ahmad)

Demikianlah beberapa kenikmatan yang kita rasakan ketika menjalankan ibadah puasa. Alangkah ruginya diri manusia apabila puasa yang dilakukan hanya mendatangkan lapar dan dahaga tanpa merasakan kenikmatan apa-apa, padahal berbagai kenikmatan banyak di dalamnya. Rasulullah memperingatkan :

قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ ( أحمد )

Artinya : Rasulullah SAW bersabda :”Berapa banyak orang yang berpuasa yang bahagiannya daripada puasa itu hanyalah lapar dan dahaga sahaja”. (H.R. Ahmad)

Hadirin yang berbahagia,

Berdasarkan keimanan dan pengalaman, sesungguhnya puasa adalah ibadah yang penuh dengan kenikmatan. Maka tidak hairanlah para nabi, para ulama, orang-orang beriman, dan orang-orang yang berilmu suka melakukan puasa ; sama ada puasa fardu ataupun puasa-puasa sunat. Bagi mereka berpuasa adalah salah satu cara menikmati hidup. Segala puji bagi Allah yang telah mensyariatkan puasa bagi orang-orang beriman dan meletakkan keistimewaan-keistimewaan di dalamnya. Allah berfirman : “Maka  sesiapa di antara kamu ada  yang  sakit   atau  dalam  perjalanan  (lalu ia berbuka),  maka  (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin. Sesiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebaikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”.(Q.S.Al-Baqoroh: 184)

Ayat ini menerangkan bahawa apabila sanggup untuk berpuasa maka usahakanlah untuk berpuasa, meskipun telah dibenarkan untuk tidak berpuasa disebabkan kerana sakit atau dalam perjalanan, kerana dalam berpuasa akan mendapatkan kenikmatan-kenikmatan yang sangat tingi sekali nilainya.  Mudah-mudahan ada manfaatnya. Terimakasih atas perhatiannya.

Wassalamu’alaikum Wr.Wb

Leave a Reply

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *